KUALA LUMPUR – Kementerian Digital, melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), telah mengambil langkah penting untuk menggalakkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Justeru itu, Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, MDEC, pada bulan ini, telah membuka permohonan baharu untuk tiga geran iaitu Geran Pemangkin Digital Malaysia (MDCG), Geran Kandungan Digital (DCG) dan Geran Eksport Digital Malaysia (MDXG).
“MDCG, sebagai contoh, menawarkan sehingga RM1 juta atau 50 peratus daripada kos projek untuk memacu inovasi dalam sektor digital Malaysia, dengan AI menjadi satu bidang sasaran utama.
“Berfokus pada memupuk penyelesaian berskala dan berimpak tinggi, geran itu menyokong projek dalam sektor yang digalakkan Digital Malaysia (MD) sehingga satu tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena perasmian Next Big Tech Asia 2024, di ibu negara, hari ini.
Source: Malaysia Tribune

