Kuala Lumpur: Malaysia komited menjalin kerjasama dengan negara serantau bagi meningkatkan keupayaan digital dalam usaha mencapai sasaran AS$2 trilion (kira-kira RM8.35 trilion) ekonomi digital Asean pada 2030.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata, Malaysia perlu sentiasa menjalin hubungan baik serta meneroka pasaran besar Asia Tenggara berikutan potensi Asean yang memiliki lebih 70 juta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) Asean mensasarkan menjana ekonomi digital Asean sehingga AS$2 trilion menjelang 2030.
“Dengan Malaysia akan menjawat jawatan Pengerusi Asean tahun depan, kita berharap dapat bekerjasama rapat dengan negara anggota lain untuk meningkatkan keupayaan digital dan daya tahan serantau kita dalam meningkatkan kecekapan, memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.
“Saya juga yakin Malaysia mempunyai semua ramuan yang sesuai untuk menerajui hab digital Asia Tenggara,” katanya pada Majlis Pelancaran NextBigTech Asia 2024 di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Mohamad Haris Kader Sultan serta Pengerusi NextBigTech Asia Selva Nagappan dan lebih 200 peserta dari dalam serta luar negara.
Mengulas lanjut, Gobind berkata, kementeriannya menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) giat melaksanakan pelbagai program terutama bagi menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) celik menggunakan digital dalam perniagaan masing-masing.
Katanya, MDEC menyediakan akses bimbingan dan latihan kepada syarikat supaya mereka boleh mendapatkan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk menggunakan teknologi itu.
“Dengan kemunculan teknologi baharu ini, pasaran global menjadi lebih mudah diakses, terutama bagi PKS kerana PKS adalah tulang belakang ekonomi kita iaitu hampir 96.7 peratus perniagaan.
“Namun, kita sedar PKS menghadapi pelbagai cabaran dalam perjalanan digital mereka dan Kementerian Digital sentiasa bersedia membantu melalui kerjasama rapat dengan komuniti perniagaan untuk menangani isu itu.
“Justeru, selain membuka permohonan baharu untuk tiga geran, Geran Kandungan Digital (DCG), Geran Pemangkin Digital Malaysia (MDCG) dan Geran Eksport Digital Malaysia (MDXG), MDEC juga menawarkan ‘Data-Driven Playbook’
PKS secara percuma untuk membantu daya tahan perniagaan serta latihan dan bimbingan,” katanya.
Source: Harian Metro

